Sunday, September 16, 2007

KAEDAH DISIPLIN DALAM GERAKAN ISLAM

KAEDAH DISIPLIN DALAM GERAKAN ISLAM.

Kalimah berDISIPLIN bererti seseorang itu melakukan sesuatu dengan
teratur dan menurut perencanaan, patuh kepada peraturan peraturan,
pandai mengurus masa serta menjaga ketepatan waktu.

Tuntutan Disiplin Dalam Organisasi
Anggota anggota jemaah yang berdisiplin adalah penting seperti
pentingnya kepemimpinannya juga.

Maududi menulis "......sebuah gerakan, sekalipun mempunyai ciri ciri
yang baik, menemui kegagalan hanya disebabkan oleh hakikat bahawa ia
tidak dapat menterjemahkan skima skimanya ke bentuk praktik. Ini
berpunca daripada ketiadaan disiplin dan kerjasama. Usaha usaha
berdisiplin bermakna bahawa seluruh jemaah mesti mengikut prosedur serta
peraturan yang telah ditetapkan olehnya."

1. Seorang Muslim wajib beriltizam dengan arahan dan nizam (sistem)
jemaah. Itu adalah perkara asasi dan perlu untuk kebaikan perjalanan
amal dan usaha merialisasikan segala tujuan jemaah. Kesetiaan ini
dipandang sebagai taat dan ibadah kepada Allah.

2. Setiap anggota jemaah mesti membiasakan dirinya melaksanakan setiap
perintah pemimpin atau mas'ulnya dalam jamaah. Dia mesti taat kepada
pemimpin di waktu susah, senang, sama ada suka atau tidak, asalkan
perkara yang tidak mungkar dan tidak maksiat.

3. Tentera da'wah wajib menjaga waktunya dengan bersungguh sungguh,
berdisiplin dalam segenap urusannya dengan peraturan yang rapi, berguna
kepada manusia, mampu berusaha, mujahid untuk dirinya, berwaspada dari
godaan hartabenda, anak dan isteri. ".....tiap tiap anggota majlis itu
mestilah bersungguh sungguh untuk menghadirkan dirinya pada waktu yang
telah ditentukan dan tidak boleh lambat datang kecuali kerana tersangat
terpaksa. Itupun dengan memberitahu alasan terlebih dahulu.

Kelemahan Tanpa Disiplin.
- Organisasi lemah dan lembab.
Kerja kerja terbengkalai dan da'wah
tidak akan berkembang. Dan tidak tercapai matlamat gerakan. Disiplin
merupakan salah satu faktor (berkait dengan individu) yang menyebabkan
para du'at gugur/tercicir di sepanjang jalan dakwah.

Sebab Kemerosotan Disiplin.
- Kemerosotan Iman.
Menjadikan seseorang itu tidak sensitif terhadap perlaksanaan sesuatu
tugas itu dengan segera. Salah satu kesan ialah tiada iltizam dengan
waktu yang telah ditentukan untuk sesuatu perjumpaan ataupun waktu
yang telah ditentukan untuk melaksanakan sesuatu kerja.

- Kemahuan yang Lemah dan Kurang Azam - Menyebabkan cepat berputus asa,
mengalah serta mudah patah semangat.

- Masalah Peribadi

- Penyakit Lupa - Lupa kepada arahan, peraturan, waktu pertemuan serta
tugas tugas. Salah satu sebab mempunyai terlampau banyak tugas.

- Sikap Kurang Tegas Pemimpin.


Kesimpulan.
Disiplin merupakan suatu amalan yang sangat penting dalam gerakan
Islam. Tanpanya gerakan sukar mencapai matlamatnya. Oleh itu pimpinan
dan ahli-ahli gerakan perlulah mengambil berat persoalan ini agar lahir
di sana sebuah gerakan yang terdiri daripada ahli ahli yang berdisiplin
dan mampu memperjuangkan Islam sehingga tercapainya matlamat yang diidam
idamkan InsyaAllah.

No comments: