Sunday, September 16, 2007

RUKUN BAIAH

Rukun-rukun Baiah:

Bergabung dengan Harakah Islamiah pada hakikatnya bermaksud bergabung secara langsung atau amalan di dalam Islam. Ia merupakan permulaan perjanjian baru dengan Allah dan memberikan baiah untuk beramal dan berjihad pada jalan-Nya.
Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna telah merumuskan tentang rukun-rukun baiah dengan berkata: "Rukun baiah kita semuanya sepuluh, peliharalah ia dengan sebaik-baiknya".

1. Faham.
2. Ikhlas.
3. Amal.
4. Jihad.
5. Berkorban.
6. Taat.
7. Tetap Pendirian.
8. Tegas.
9. Persaudaraan.
10. Percaya.

Kemudian Imam Hassan Al-Banna mentafsirkan rukun-rukun di atas satu persatu. Beliau menyatakan:

1. FAHAM:

Hendaklah saudara meyakini bahawa fikrah kita adalah fikrah Islamiah yang sejati dan hendaklah saudara memahami Islam sebagaimana kami (para pemimpin) memahaminya berdasarkan usul dua puluh (prinsip) yang ditetapkan. Kami ringkaskan prinsip-prinsip tersebut adalah sebagaimana berikut:
1.1- Hendaklah saudara memahami bahawa Islam adalah satu sistem yang lengkap (syamil) mencakupi seluruh bidang kehidupan.
1.2- Hendaklah saudara memahami bahawa Al-Quran dan Sunnah adalah sumber rujukan bagi setiap orang muslim dalam memahami segala hukum-hakam Islam.
1.3- Hendaklah saudara memahami bahawa iman yang benar, ibadat yang sah dan mujahadah merupakan cahaya kemanisan yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya kasyaf, mimpi, ilham dan lintasan-lintasan hati tidaklah menjadi dalil hukum Islam (syarak) dan tidak boleh dibuat pegangan kecuali jika ianya bercanggah dengan hukum-hakam Islam dan nas-nas agama.
1.4- Hendaklah saudara memahami bahawa semua jenis tangkal, jampi, mantera, tilikan dan ramalan, mengaku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, nujum atau apa sahaja yang seumpamanya adalah satu kemungkaran yang wajib diperangi kecuali jika jampi-jampi tersebut terdiri dari ayat-ayat Al-Quran dan doa yang ma'thur yang pernah dibuat oleh Rasulullah s.a.w.
1.5- Hendaklah saudara memahami bahawasanya pendapat Imam dan naibnya dalam perkara-perkara yang tidak ada nas yang jelas dan dalam masalah yang boleh ditafsirkan dengan lebih dari satu pentafsiran dan dalam perkara yang melibatkan maslahah mursalah, boleh diamalkan (dipegang) selama ia tidak berlawanan dengan kaedah-kaedah syarak.
1.6- Hendaklah saudara memahami bahawa sesungguhnya perkataan dari seseorang itu boleh diambil dan boleh ditolak kecuali perkataan Rasulullah s.a.w yang maksum.
1.7- Hendaklah saudara memahami bahawa bagi seseorang Islam yang taraf keilmuannya belum sampai ke peringkat mampu meneliti dalil-dalil hukum-hakam Syariat Islam maka hendaklah dia mengikuti salah seorang dari Imam-imam (mujtahid) dalam Islam.
1.8- Hendaklah saudara memahami bahawa perbezaan-perbezaan (pentafsiran dan pegangan) dalam hukum-hakam fekah dalam soal-soal cabang (furu') tidak harus dijadikan sebab perpecahan dalam agama.
1.9- Hendaklah saudara memahami bahawa perbincangan tentang masalah yang tidak mendatangkan hasil adalah termasuk di dalam erti takalluf (usaha yang memberatkan) yang ditegah oleh agama.
1.10- Hendaklah saudara memahami bahawa mengenali Allah Tabaraka Wa Taala, mentauhidkannya dan menyucikannya (dari segala sifat kekurangan) adalah setinggi-tinggi akidah Islam. Kita beriman dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Sahih tentang sifat-sifat Allah sebagaimana zahir ayat-ayat tanpa takwil dan juga tanpa membekukan nas-nas tersebut.
1.11- Hendaklah saudara memahami bahawa setiap amalan bidaah di dalam agama Allah (Islam), yang tidak ada asal-usulnya mestilah dihapuskan dengan cara yang paling bijak.
1.12- Hendaklah saudara memahami bahawa bidaah Idhafiyyah (yang ditokok-tambah), bidaah tarkiyyah (bidaah yang meninggalkan amalan yang sunnah) serta beribadat dengan cara tertentu di dalam ibadat-ibadat mutlak (khusus) adalah masalah khilafiah dalam fikah di mana setiap golongan mempunyai pendapatnya sendiri. Tidak mengapa jika dibincangkan dengan tujuan memberi kebenaran yang disertakan dengan dalil dan keterangan (bukti).
1.13- Hendaklah saudara memahami bahawa mengasihi orang-orang yang salih, menghormati mereka dan menyebut kebaikan-kebaikan mereka yang kita ketahui adalah satu sikap yang akan membawa kita bertambah dekat dengan Allah s.w.t.
1.14- Hendaklah saudara memahami bahawa menziarahi kubur walau bagaimana sekalipun keadaannya adalah suatu perkara sunnah yang disyariatkan mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
1.15- Hendaklah saudara memahami bahawa berdoa kepada Allah yang diiringi dengan bertawassul kepada makhluknya yang tertentu (orang-orang salih) adalah perkara khilafiah furu'ie tentang cara-cara berdoa. Ia bukanlah satu persoalan akidah.
1.16- Hendaklah saudara memahami bahawa adat-adat kebiasaan manusia yang salah tidak dapat mengubah pengertian hakiki dari lafaz syarak.
1.17- Hendaklah saudara memahami bahawa akidah (yang bersih) adalah asas segala amalan dan amalan hati adalah lebih penting dari tubuh-badan. Mencari kesempurnaan dalam kedua-dua bidang amal ini adalah dituntut oleh syarak sekalipun tuntutan itu berbeza-beza mengikut keadaan.
1.18- Hendaklah saudara memahami bahawa Islam memberi kebebasan kepada akal dan mendorongnya supaya memerhati dan mengamati rahsia-rahsia alam, malah Islam mengangkat darjat dan martabat ilmu dan para ulama (ilmuan) serta mengalu-alukan segala hasil kajian ilmiah yang memberi manfaat.
1.19- Hendaklah saudara memahami bahawa pandangan syarak dan pandangan akal ada kalanya kelihatan tidak seiring tetapi syarak dan akal tidak bercanggah dalam perkara yang qat'ie (telah jelas dengan dalil). Oleh itu hakikat ilmiah yang sah sekali-kali tidak akan bercanggah dengan kaedah syariat yang tetap. Apabila terdapat sesuatu penentangan maka perkara-perkara yang bersifat zanni (atau perkara-perkara yang pendapat akal biasa semata-mata) itu, hendaklah diulas dan ditakwilkan supaya sesuai dengan hakikat qai'ie, tetapi seandainya terdapat pertentangan di antara kedua-dua perkara yang bersifat zanni berlaku maka hendaklah diutamakan pandangan syarak dakal biasa dan pandangan syaraklah yang lebih patut disehinggalah peperkara zanni akal tadi benar-benar dapat dibuktikan kebenarannya. Jika tidak demikian maka gugurlah pandangan akal itu dengan sendirinya.
1.20- Janganlah saudara mengkafirkan seorang muslim yang berikrar dengan dua kalimah syahadat dan beramal dengan tuntutan-tuntutannya serta menunaikan perkara-perkara yang diwajibkan sama ada kerana ia berpegang kepada pendapat tertentu atau melakukan maksiat - kecuali ia sendiri berikrar dengan mengakui kekufuran atau melakukan sesuatu perbuatan yang tidak boleh ditakwilkan lagi kecuali dengan makna kufur.

2. IKHLAS.
Hendaklah seorang saudara muslim itu berniat bahawa segala perkataannya, pekerjaannya dan perjuangan jihadnya adalah kerana Allah dan untuk mendapat keredaan-Nya dengan tidak mengharapkan keuntungan, pangkat kedudukan, kemegahan dan gelaran. Dengan niat yang ikhlas itu saudara akan menjadi seorang tentera (yang setia) kepada fikrah dan akidah bukan tentera yang tamakkan keuntungan dan kepentingan diri.

3. AMAL.
Apa yang dimaksudkan dengan amal di sini ialah melakukan Islah (pembaikan) terhadap diri sendiri, membina rumah tangga muslim, membimbing masyarakat, membebaskan tanah air, membetulkan kerajaan sehingga benar-benar bersifat Islam, mengembelingkan kewujudan umat Islam di peringkat antarabangsa, menjadi petunjuk ajaran ke seluruh pelusuk dunia sehingga tidak ada lagi fitnah serta halangan dan agama ini seluruhnya berjalan kerana Allah semata-mata.

4. JIHAD.
Jihad yang dimaksudkan di sini ialah kewajipan yang berterusan sejak dahulu hingga ke hari kiamat iaitu kewajipan yang dimaksudkan dalam sabda Rasulullah s.a.w:
Yang bermaksud:
"Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak pernah berperang dan pernah berniat untuk berperang bererti beliau mati dalam keadaan jahiliah".

5. BERKORBAN.
Berkorban bermakna mengorbankan jiwa-raga, harta-benda, masa, kehidupan dan segala sesuatu untuk tujuan mencapai matlamat.

6. TAAT.
Taat bermaksud mematuhi perintah dan melaksanakannya di masa senang mahupun susah sama ada dalam perkara yang disukai ataupun yang dibenci.

7. TETAP PENDIRIAN.
Tetap pendirian yang dimaksudkan ialah setiap orang dari kalangan saudara terus-menerus beramal dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat sekalipun memakan masa yang bertahun-tahun lamanya sehinggalah dia bertemu Allah dalam keadaan beramal dan berjihad. Dengan itu bermakna dia berjaya memperoleh salah satu dari dua kebaikan iaitu mencapai matlamat atau mati syahid.

8. TEGAS.
Tegas atau tajarrud yang dimaksudkan ialah saudara membersihkan fahaman atau fikrah yang saudara bawa dari sebarang pengaruh prinsip-prinsip dan individu yang lain dari fikrah saudara kerana fikrah yang saudara dokong ini adalah fikrah yang tinggi lagi lengkap kerana Allah berfirman:
"Celupan Allahlah (yang lebih baik), siapakah yang lebih baik dari celupan Allah".
(Surah Al-Baqarah, Ayat: 138).

9. PERSAUDARAAN (UKHUWWAH).
Persaudaraan yang dimaksudkan di sini ialah saudara mempertautkan ikatan hati-hati dan ruh-ruh saudara-saudara sekalian dengan ikatan akidah, kerana ikatan akidah itu merupakan ikatan yang paling kukuh dan paling berharga.
Kewajipan dan Tanggungjawab Ukhuwwah (Persaudaraan):
Ukhuwwah atau persaudaraan di dalam Islam merupakan jalinan yang menghubungkan sebahagian dengan sebahagian Umat Islam yang lain. Ia merupakan ikatan rabbani - ikatan yang diikuti di atas dasar ketaatan kepada Allah - yang mengikat hati-hati mereka dan ia merupakan jalinan yang mendekatkan mereka kepada Allah s.w.t. Ukhuwwah merupakan ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:
Yang bermaksud:
"Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah". (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Di dalam ajaran Islam persaudaraan adalah satu tonggak yang menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah masyarakat Islam yang kukuh dan sendi yang menghubungkan anggota masyarakat.
Hakakah Islamiah sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam ini diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah satu bangunan yang tersusun rapi, satu anggota memperkuat satu anggota yang lain. Ianya seumpama satu jasad yang apabila satu daripada anggota jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota yang lain akan turut menanggung penderitaannya.
Bagi memastikan hak-hak dan kewajipan ukhuwwah ini dilaksanakan dengan sempurna dan berperanan dalam pembangunan jamaah, Islam telah menjelaskan cara-cara bagaimana hak-hak dan kewajipan tersebut dilaksanakan secara amali dengan memberi penekanan bahawa ia adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan bukan sekadar ucapan di bibir atau teori semata-mata.
1. Ukhuwwah (yang terjalin di antara seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain) mestilah menjadi hubungan yang membawa mereka kepada ketaatan kepada Allah sebagai membenarkan sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:
Yang bermaksud:
"Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya".
Teman setia yang baik seperti inilah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a yang mengatakan:
"Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu kesusahan".
2. Di sudut kejiwaan pula, ukhuwwah merupakan satu keperluan kerjasama, turut merasai keperluan-keperluan saudara-saudara yang lain dan berusaha memenuhi keperluan tersebut sebagai menyahut tuntutan sabda Rasulullah s.a.w:
Yang bermaksud:
"Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan di dalam masjidku ini". (Hadis riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).
3. Persaudaraan juga adalah kerjasama di bidang kebendaan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
Yang bermaksud:
"Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya".
4. Ukhuwwah adalah tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan-kewajipan yang ringkas. Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:
Yang bermaksud:
"Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: (1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2) Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit, (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya". (Hadis riwayat Muslim).
5. Ukhuwwah juga bererti kemesraan, kasih-sayang dan saling bantu-membantu. Berhubung dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:
Yang bermaksud:
"Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari". (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).
Rasulullah s.a.w juga bersabda:
Yang bermaksud:
"Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)". (Hadis riwayat Muslim).
Rasulullah s.a.w juga bersabda:
"Setiap perkara kebaikan adalah sedekah. Sesungguhnya di antara perkara mitu ialah bermanis muka ketika bertemu saudaramu dan menolong memenuhi bejana saudaramu dengair". (Hadis riwayat ).
Rasulullah s.a.w juga bersabda:
"Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerananya kamu saling berkasih-sayang dan akan jauhlah permusuhan". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
6. Ukhuwwah menurut ajaran Islam ialah keghairahan dan setia kerana Rasulullah s.a.w bersabda:
Yang bermaksud:
"Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat". (Hadis riwayat Tirmizi).
Baginda juga bersabda:
Yang bermaksud:
"Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga". (Hadis riwayat Muslim).

10. PERCAYA.
Percaya atau thiqah di sini bermaksud kepercayaan seseorang tentera (jundi) yang mendalam terhadap kemampuan dan keikhlasan pimpinannya sehingga menimbulkan rasa kasih, menghargai, menghormati dan memberikan ketaatan yang penuh kepadanya.

No comments: